Saat yang ditunggu oleh kesemua calon SPM 2013 telah pun
berakhir dengan pengumuman keputusan peperiksaan SPM pada 20 Mac yang lalu.
Ramai dalam kalangan mereka yang mengimpikan kejayaan untuk meneruskan
cita-cita ke menara gading. Ternyata keputusan SPM 2013 tidak menghampakan
dengan peningkatan daripada 13 970 calon memperoleh gred A (Cemerlang) bagi semua
mata pelajaran yang diambil berbanding 13 720 calon pada 2012.
Pelajar yang mendapat keputusan cemerlang pastinya sangat
gembira kerana impian untuk berjaya dalam SPM tercapai. Pelbagai biasiswa,
bantuan kewangan dan peluang melanjutkan pelajaran ke institusi-institusi
pengajian tinggi juga bakal ditawarkan kepada pelajar ini. Tetapi bagaimana
pula yang kurang cemerlang dalam peperiksaan? Adakah setakat SPM sahaja
perjuangan mereka? Stigma negatif ini harus dibuang jauh-jauh kerana ianya
ternyata salah.
Kebanyakan masyarakat terlalu memandang ‘A’ dalam apa pun
peperiksaan yang ditempuhi. Tambahan pula, ada yang memandang rendah dan
memperlekehkan pelajar yang kurang cemerlang. Hal ini boleh menyebabkan pelajar
itu sendiri berasa terlalu rendah diri untuk berhadapan dengan masyarakat. Malah,
terdapat kes pelajar meminum racun akibat gagal dalam SPM dicatatkan pada
Mac 2012 yang lalu. Kes ini terjadi bukan disebabkan tekanan
daripada ibu bapa, tetapi faktor dalaman, iaitu emosi pelajar tesebut. Apa yang
akan berlaku jika ibu bapa memberi tekanan? Takut-takut nanti ibu bapa pula
yang menjadi mangsa bunuh. Sepatutnya ibu bapa dan masyarakat berperanan untuk terus menyokong dan memberi motivasi kepada
pelajar berkenaan dan bukannya terus menyalahkan mereka yang kononnya
menjatuhkan nama baik mereka akibat keputusan yang kurang memuaskan.
Ibu bapa tidak perlu bimbang mengenai hala tuju anak-anak
mereka ini. Hal ini kerana badan kerajaan (GO) dan badan bukan kerajaan (NGO) sentiasa
ada inisiatif buat pelajar-pelajar ini, iaitu melalui bidang kemahiran tertentu,
seterusnya membuka peluang kerjaya untuk mereka. Sebagai contoh, Kursus
Keusahawanan Kemahiran Pemprosesan Makanan yang dilaksanakan oleh Jabatan
Pertanian. Ianya bertujuan untuk melahirkan usahawan muda yang menceburkan diri
secara serius dalam perniagaan asas tani, seperti makanan sejuk beku, bakeri,
produk-produk berasaskan kelapa dan pelbagai lagi. Pada masa yang sama juga,
wujudnya intitusi-institusi kemahiran,
seperti Politeknik, Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN/IKBTN),
Institut Latihan Perindustrian (ILP) dan banyak lagi.
Cuba kita fikir secara rasional, adakah kejayaan dalam
akademik ini merupakan kecemerlangan yang benar-benar kita inginkan? Bagaimana
pula dengan kecemerlangan dalam akhlak dan nilai-nilai murni seseorang? Tiada
gunanya jika berpuluh-puluh ‘A’ yang diperoleh, tetapi bila bercakap soal perangai
dan adab, entah ke mana. Bukan bermakna akademik harus ditepikan sama sekali,
namun segenap aspek perlu diambil kira dalam mengukur kecemerlangan seseorang.
Malah, menurut Falsafah Pendidikan Kebangsaan, kecemerlangan merupakan satu
usaha berterusan ke arah lebih memperkembangkan potensi individu secara
menyeluruh dan bersepadu untuk melahirkan insan seimbang dan harmonis dari segi
intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan serta kepatuhan
kepada Tuhan.
Tidak semua graduan universiti mendapat peluang dan
tempat bekerja. Ya, mungkin semasa di SPM dahulu dia adalah pelajar paling
cemerlang, tetapi lain pula ceritanya apabila melangkah ke universiti. Kerana
sekolah dan universiti merupakan dua institusi pendidikan yang berbeza. Ini
menunjukkan meskipun tanpa keputusan yang cemerlang, kita masih boleh mengukir
kejayaan seperti orang lain. Buktinya ada yang berjaya walaupun tanpa
pendidikan yang tinggi seperti, Tan Sri Syed Mokhtar Al- Bukhary, orang Melayu
terkaya di Malaysia, beliau bukanlah dari kalangan yang berpendidikan tinggi,
bahkan tidak pernah belajar hingga ke peringkat universiti pun. Namun berdasarkan
pengalaman hiduplah beliau menimba ilmu
sehingga mampu sampai ke tahap ini. Begitu juga dengan pengasas Microsoft, Bill
Gates. Memetik kata-katanya, “saya gagal dalam beberapa mata pelajaran dalam
peperiksaan, tapi rakan-rakan yang lain lulus kesemunya. Sekarang dia seorang
jurutera dalam Microsoft, tapi sayalah pemilik Microsoft itu sendiri.”
Kejayaan-kejayaan seperti inilah yang dapat memotivasikan diri agar tidak
pernah kenal erti putus asa dalam kehidupan.
Rezeki anda mungkin bukan di sini. Barang kali di tempat
lain kerana Tuhan telah menetapkan rezeki masing-masing selagi mana kita hidup
di dunia ini. Janganlah menganggap kekurangan dalam SPM adalah peluang terakhir
untuk berjaya, bahkan inilah titik tolak untuk menuju kejayaan. Usahlah pedulikan
kata-kata orang lain, kerana cabaran kehidupan baru sahaja bermula.
No comments:
Post a Comment