Innalillahi Wainna Ilaihi Rajiun
Lagi
kita dikejutkan dengan tragedi nahas kapal terbang MH17 selepas MH370 pada Mac lalu. Kepada yang kehilangan ahli
keluarga, takziah diucapkan. Sedar atau
tidak ini merupakan ujian ataupun peringatan buat kita semua, khususnya rakyat Malaysia.
Mungkinkah kita terlalu selesa dan lalai dengan dosa? Lantas Tuhan menegur kita…
Kehilangan harta-benda, keluarga dan sebagainya adalah salah satu bentuk ujian daripada Allah untuk hamba-Nya agar sedar bahawa Dialah sebaik-baik perancang dan mengatur segala sesuatu.
Firman Allah yang bermaksud:
“Dan kamu tidak dapat menentukan kemahuan kamu (mengenai sesuatu pun).
Kecuali dengan cara yang diatur oleh Allah, Tuhan yang memelihara dan
mentadbirkan seluruh alam.”(Surah At-Takwir: ayat 29). Sebagai
hamba, kita perlu menerima segala yang berlaku dengan hati terbuka tanpa
menyalahkan dan mempersoalkan takdir kerana kita hanyalah sekadar insan kerdil
yang menumpang di bumi Allah.
Ujian yang diturunkan oleh Allah juga tidak lain dan
tidak bukan adalah untuk mempertingkatkan lagi keimanan dan ketaqwaan kepada
Allah. Mungkin kita terleka dengan perkara keduniaan lalu disapa oleh Allah
melalui ujian-Nya. Saat ujian menimpa, seharusnya kita merintih dan memohon
kepada Allah agar terus diberi kekuatan untuk menjalani kehidupan yang
mendatang. Allah pastinya akan mendengar segala rintihan dan memperkenankan doa
hamba-Nya kerana Dialah Tuhan Yang Maha Mendengar.
Hal ini bertepatan dengan
firman Allah yang bermaksud: “Berdoalah kepada-Ku nescaya Aku (Allah) akan
perkenankan.” Kita dianjurkan berdoa kerana ia adalah bukti kehambaan kita
kepada Allah dan mengaku bahawa kita adalah insan yang lemah, fakir dan hina di
hadapan-Nya di samping pelbagai lagi sifat hamba kita di sisi-Nya.
Di sebalik kesusahan, kehilangan dan musibah yang kita
hadapi pasti akan digantikan dengan sesuatu yang lebih baik dan gembira. Bahkan
Allah juga sebenarnya merencanakan sesuatu sedangkan kita tidak mengetahui dan ia
tersembunyi di sebalik ilmu-Nya yang Maha Luas. Allah berfirman yang bermaksud,
“Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat
baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk
bagimu. Allah mengetahui sedangkan kamu tidak mengetahui.”(Surah
Al-Baqarah: ayat 216)
SEMOGA KITA REDHA...
Wallahua'lam.